Isnin, 6 Disember 2010

thumb_sombong.jpegDi dalam pergaulan sifat-sifat memuji diri ini boleh dikesan dalam perbicaraan dan perbuatan. Manusia yang ada sifat sombong biasanya akan memuji dirinya baik dalam segala hal seperti perilaku iblis.
"Saya yang buat ni. Kalau tak kerana saya tidak jadi semua ini."

Ini kata-kata yang biasa kita ucapkan dalam pergaulan seharian. Tapi disinilah juga menunjukkan kesombongan dan sifat suka memuji dan menonjolkan diri hebat. Hilanglah sifat kehambaan kita bila kita bersikap demikian. Seorang hamba akan merasakan kelebihan dirinya adalah milik Tuhan. Dia lemah dan tidak mempunyai apa-apa kelebihan. Ia akan memuji-muji Tuhan yang telah mengizinkan kerja-kerjanya berjalan dengan lancar dan sempurna.

Bila kita suka puji diri,kita akan berani menyalahkan atau tidak menerima pandangan orang lain dan menunjukkan sikap permusuhan dengan orang yang berlainan pandangan dengan kita. Ambillah pengajaran dari apa yang telah diperkatakan oleh Lukman Al-Hakim:

Jika kita melihat seorang anak kecil,katakan kepada diri sendiri: "Anak ini belum ada dosa kepada Allah,kalau begitu dia lebih baik dari aku."

Jika kita melihat seorang yang lebih tua, katakan kepada diri sendiri."Orang tua ini hamba Allah yang lahirnya lebih dahulu daripadaku dan sudah tentu telah banyak membuat amal, semestinya lebih baik daripada aku sendiri."

Jika kita melihat seorang guru hendaklah kita berkata pada diri,"Orang ini telah berjasa memberikan ilmunya,ilmu yang tidak dapat aku berikan. Dan ilmu yang telah dicapainya yang aku sendiri tidak dapat mencapainya. Mengapa aku masih jua memandang bodoh kepadanya. Padahal semestinya aku bertanya bagaimana aku juga boleh berbuat seperti itu."

Jika kita melihat orang bodoh,hendaklah kita berkata pada diri sendiri: "Orang ini rupanya telah derhaka,banyak dosa kepada Allah disebabkan kebodohannya. Barangkali aku berdosa kepada Allah oleh kerana ilmu pengetahuanku, sedangkan Allah lebih mengetahuinya. Jadi oleh kerana itu aku pun tidak tahu lagi entah balasan apa yang akan diberikan Allah kepadaku dan bagaimana kelak balasan bagi orang itu."

Bila kita menyedari hal ini,tidak ada sebab untuk kita memuji-muji diri sendiri untuk menonjolkan kehebatan kita dalam melaksanakan sesuatu. Segala-galanya milik Allah. Kita hanya hambanya yang lemah. Tanpa izin-Nya untuk mengangkat kelopak mata pun kita tidak mampu.

Firman Allah
"Sebab itu janganlah kamu memuji dirimu sendiri. Dia lebih mengetahui siapa yang sebenarnya yang bertaqwa." (An-Najm 32)

Pujian ini seboleh-bolehnya jangan kita minta, jangan kita dengar,kalau terdengar juga,minta ampun banyak-banyak kepada Allah. Bimbang kalau kita tidak boleh menjaga hati kita dari perasaan riak. Memang sedap mendengar orang memuji kita.Selalunya yang sedap itulah yang membawa penyakit,dalam hal ini ialah berdosa. Ramai orang yang rosak amalnya kerana dipuji.

Sesungguhnya orang yang memuji  amalan seseorang secara berhadapan ibarat melemparkan pasir ke dalam nasinya kerana pujian itu memungkinkan pembuat amal tersebut merasa riak. Pujilah amalan orang di belakangnya dengan tujuan untuk menjadi contoh ikutan orang lain. Wallhu’aklam.


Dikuasakan oleh Blogger.