Ahad, 3 April 2011

Bayaran haji kekal RM9,980 bagi tahun 2011


Berita Harian 18:15:54 PM -Ahad , 03 April 2011

GURUN: Kerajaan memutuskan kos mengerja haji tahun ini kekal pada kadar RM9,980 selepas mengambil kira pelbagai faktor, termasuk kepentingan rakyat.

Bagaimanapun, kadar itu hanya bagi bakal haji yang menunaikan ibadah itu kali pertama, manakala bagi mereka yang menunaikannya kali kedua dan seterusnya akan dikenakan kadar tambang mengikut kos sebenar tanpa subsidi.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang mengumumkannya di sini, hari ini berkata tahun lalu Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) terpaksa menanggung kenaikan kos sebanyak RM65 juta dan jumlah itu dijangka bertambah tahun ini berikutan keputusan kerajaan mengekalkan kadar lama.
“Dengan keputusan ini, kerajaan menanggung kenaikan subsidi RM4,360 bagi setiap seorang bakal haji baru, berbanding hanya RM3,060 subsidi yang ditanggung pada musim haji lalu.

"Kadar ini masih rendah berbanding beberapa negara Asia lain, termasuk Thailand yang mengenakan sekitar RM14,000 bagi setiap bakal haji, Singapura (RM16,000), Brunei (RM17,000) dan Indonesia antara RM10,000 dan RM14,000 mengikut tempat.

“Kita mengambil kira pelbagai faktor semasa seperti keperluan dan kebajikan rakyat selain prestasi kewangan Tabung Haji tahun lalu sebelum memutuskan untuk mengekalkannya," katanya pada sidang media selepas merasmikan mesyuarat agung tahunan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan Gurun di sini.

Sementara itu, Jamil Khir berkata, kerajaan Arab Saudi juga sudah meluluskan untuk menambah keluasan bagi penginapan setiap bakal haji kepada empat meter persegi seorang, berbanding 3.5 meter persegi sebelum ini.
Katanya, kerajaan juga akan mengadakan rundingan dengan pihak Arab Saudi bagi mendapatkan penambahan kuota haji mengikut kemampuan pengurusan Tabung Haji.

"Dalam soal menambah keluasan bagi setiap bakal haji, ia dibuat untuk menambah keselesaan kepada setiap jemaah sama ada di Makkah atau di Madinah.

"Ini bermakna jika sebelum ini jemaah haji terpaksa berkongsi lima orang untuk satu bilik ia akan dikurangkan musim ini untuk menambah keselesaan umat Islam menunaikan ibadah haji,” katanya.


Dikuasakan oleh Blogger.